Di sini ada satu kisah yang ingin saya kongsi bersama semua pendengar Misteri Jam 12. Kisah ini berlaku pada tahun lepas. Ketika saya keseorangan di rumah, saya telah mendengar telefon rumah berdering. Tanpa membuang masa, saya mengangkat panggilan telefon tersebut. Di hujung talian tersebut, ada suara memanggil nama "Mama... Mama... Mama... Mama...” memanggil dengan nada sayu dan tanpa henti-henti. Saya sangkakan ada kanak-kanak yang tersalah talian. Lalu saya menjawab panggilan tersebut dengan berkata, "Saya bukan ibu awak. Awak tersalah nombor...” Walaubagaimanapun, suara itu tidak mempedulikan apa yang saya katakan. Kanak-kanak itu terus memanggil lagi, "Mama... Mama... Mama...” tidak putus-putus sehingga beberapa minit.
Saya menunggu suara itu berhenti sambil mengharapkan kanak-kanak itu memutuskan taliannya. Namun hampa kerana suara itu terus-menerus memanggil mama tanpa henti! Kerana terlampau lama, saya meletakkan gagang telefon di atas meja. Saya sangkakan kanak-kanak itu amat nakal dan suka mengganggu orang melalui talian telefon. Selepas itu, saya meneruskan rutin harian dengan memasak makanan malam. Kira-kira 2 jam selepas selesai semua tugas, saya kembali teringatkan gagang telefon yang saya letakkan di atas meja tadi. Saya letakkan gagang telefon itu di telinga saya. Tak sangka! Suara itu masih ada kedengaran di corong telefon tersebut! Waktu itu hampir-hampir Maghrib. Saya mula terasa seram. Saya mula terfikirkan ianya gangguan dari makhluk halus. Tanpa membuang masa, saya memutuskan panggilan telefon tersebut.
Rupa-rupanya, setelah suami saya siasat, talian tersebut datang daripada telefon awam di daerah terpencil, iaitu daripada kawasan Cha’ah, Segamat, Johor. Yang mana tempat itu selalu berlaku kemalangan. Sedangkan saya berada di JB. Itulah yang menjadi tanda tanya saya sekeluarga, dari dulu sampailah sekarang. Apa tujuan kanak-kanak itu memanggil saya? Adakah simpati yang diharapkan?
Marya Abdullah, Bandar Seri Alam, JB.